KUALA SELANGOR: Mayat wanita yang ditemui dalam sebuah kereta dekat Pantai Remis awal pagi semalam dikenalpas pasti punca kematiannya akibat sesak nafas.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azharudin Tajudin berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pihak Hospital Tanjong Karang yang menjalankan bedah siasat mayat mendiang Yong Jia Yen, 34.
“Kematian wanita itu disebabkan sesak nafas akibat kekurangan udara di tempat yang tertutup. Berdasarkan bedah siasat itu, polis masih mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Tambahnya, mayat wanita berkenaan sudahpun diserahkan kepada keluarganya pada pagi tadi.
Semalam akhbar ini melaporkan Jia Yen ditemui polis di dalam sebuah kereta yang berkunci, kira-kira pukul 2 pagi selepas keluarga mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan wanita tersebut pada 31 Januari lalu di Balai Polis Damansara. – UTUSAN