JASIN: Jenazah lima sekeluarga yang meninggal dunia dalam kejadian kebakaran rumah sewa di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini minggu lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Haji Johari Bakar kira-kira pukul 10.45 malam tadi.
Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia, 13; Izz Daffa Hafizuddin, 7; Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi empat tahun disemadikan dalam satu liang lahad.
Terdahulu, semua jenazah dimandi dan dikapankan di Hospital Jasin sebelum dibawa ke Masjid Baitulrahman Kampung Enam dengan menaiki lima kenderaan untuk solat jenazah.
Kesemua jenazah tiba di masjid berkenaan pada pukul 8 malam dan disembahyangkan selepas solat Isyak yang diimamkan oleh Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.
Selepas itu, jenazah lima beranak itu dibawa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira satu kilometer dari masjid.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan dengan hampir 1,000 orang hadir termasuk ahli keluarga, saudara mara, sahabat dan penduduk kampung.
Suami Laila Fathinah, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, yang terselamat dalam kejadian itu kelihatan sugul, namun tenang ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham isteri dan empat anaknya. – UTUSAN