Hasrat buat lemang tidak kesampaian - Utusan Malaysia

Hasrat buat lemang tidak kesampaian

Mohamad Farhan Jamian menunjukkan gambar abangnya, Allahyarham Mohamad Osman yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Kampung Parit Jawa, Pontian, Johor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Hasrat seorang adik untuk memasak lemang pada Hari Raya Aidilfitri bersama abang iparnya tidak kesampaian apabila dia terkorban dalam kemalangan jalan raya di Kampung Parit Jawa, di sini, malam semalam.

Menurut adik mangsa, Mohamad Farhan Jamian, 27, abangnya, Allahyarham Mohamad Osman, 31, menyatakan hasrat itu kepada abang iparnya yang dikenali sebagai Hisham di rumahnya di Kampung Parit Bengok Hujung, di sini baru-baru ini.

Katanya, sebelum ini arwah abangnya tidak pernah menyatakan hasrat untuk membuat lemang bagi menyambut hari raya, namun arwah memberitahu kepada abang ipar ketika berkumpul di rumah.

“Tiba-tiba sahaja arwah mengajak abang ipar Hisham untuk memasak lemang pada hari raya tahun ini, saya pun hairan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Pontian, pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam semalam, kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh Allahyarham Mohamad Osman berlanggar dengan sebuah Nissan Sylphy yang datang dari arah Kayu Ara Pasong ke Parit Semerah selepas pemandunya hilang kawalan.

Akibat pelanggaran itu, Mohamad Osman yang mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan badan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Pontian, malam semalam.

Tambah Mohamad Farhan, arwah abangnya ketika kejadian dalam perjalanan ke Benut untuk bertemu dengan seseorang bagi kerja-kerja pemasangan elektrik tetapi tidak tahu di mana lokasinya.

“Arwah anak ketiga daripada enam adik beradik, bekerja sebagai pendawai elektrik dengan sebuah syarikat swasta, tinggal berhampiran rumah keluarga di Kampung Parit Bengkok Hujung.

“Saya antara adik yang rapat dengan arwah terkejut apabila mendapat panggilan dari orang awam yang menyatakan abang terlibat dengan kemalangan di Kampung Parit Jawa,” katanya dengan nada sebak.

Katanya, dia tidak menyangka pertemuan pada pagi kelmarin merupakan yang terakhir ketika arwah datang ke rumah keluarga sepertimana hari-hari biasa bertemu emak dan ayah mereka.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya