Bertahan tinggal di rumah runtuh

Bertahan tinggal di rumah runtuh

ASMAH Ibrahim menyapu halaman rumahnya yang terjejas di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat, Kelantan selepas dilanda banjir pada hujung November 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Dua buah keluarga di Kampung Jubakar Pantai di sini tetap setia menduduki rumah mereka yang terjejas teruk, walaupun sebahagiannya sudah runtuh kerana dihanyutkan arus deras banjir, tiga bulan lalu.

‘Tsunami kecil’ hujung November tahun lalu meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat sekitar yang mana beberapa kawasan terlibat belum pulih sepenuhnya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, Jalan Jubakar Pantai-Taman Sri Bayu yang terputus akibat musibah berkenaan sudah mulai dibina, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada penduduk.

Penduduk, Asmah Ibrahim, 65, berkata, rumah yang dibina hasil titik peluh suaminya itu boleh diduduki kerana mempunyai ruang yang masih kukuh untuk mereka berlindung, walaupun menyedari berdepan risiko.

“Saya dan keluarga terus bertahan bersama dengan kesan kerosakan akibat banjir kerana rumah ini banyak kenangan buat kami. Semasa banjir itu, bilik tidur dan garaj antara binaan rumah yang dihanyutkan arus deras,” katanya ketika ditemui.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, hujan lebat berterusan, limpahan air Sungai Golok dan pertembungan air laut pasang besar meninggalkan kesan dahsyat di kawasan Pengkalan Kubor yang disifatkan terburuk selepas ‘bah merah’ pada 1967.

Keadaan itu menyaksikan rumah penduduk musnah, kereta rosak selain terputus hubu­ngan berikutan jalan raya runtuh dibadai arus deras kesan pertembungan air Sungai Golok dan air laut pasang besar.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Noraini Nawi, 39, berkata, dia bersama dua anak serta kakaknya yang lembam memilih kekal tinggal di situ, walaupun separuh rumahnya runtuh dihanyutkan banjir.

Katanya, pendapatan tidak menentu menyebabkan dia terpaksa memilih untuk menetap di rumah tersebut kerana tidak mempunyai pilihan.

“Banjir baru-baru ini separuh rumah saya ranap, yang selamat hanya dapur dan bilik tidur tetapi semua sudut sudah retak. Saya ada kakak lembam dan dua anak, sukar untuk menyewa di rumah lain.

“Setiap kali hujan dan angin kencang hati ini menjadi tidak tenteram terkenangkan peristiwa tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya