KLANG: Seorang bapa maut apabila sebuah kereta yang dinaiki bersama anak perempuannya dihempap sebatang pokok ketika melalui Jalan Batu 3, Kampung Bukit Kuda, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada petang tadi itu, kematian Allahyarham Azhehari Ansar, 46, disahkan petugas Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian, bagaimanapun kanak-kanak yang turut berada dalam kereta jenis Mercedez itu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.31 petang sebelum mengerahkan sepasukan enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan ke tempat kejadian.
“Komander Operasi lapor kejadian melibatkan sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta Mercedes. Terdapat dua orang mangsa terlibat. Seorang mangsa kanak-kanak berusia 13 tahun berjaya di keluarkan oleh orang awam.
“Manakala seorang lagi mangsa lelaki dewasa tersepit dan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk pemandu. Kerja-kerja memotong pokok dan mengeluarkan mangsa dilakukan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudian berjaya dikeluarkan pada pukul 7.12 petang sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut. – UTUSAN