MELAKA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang hilang di Pulau Undan di sini sejak Rabu lalu menemui jalan buntu apabila tidak ada petunjuk ditemui setelah hari keempat pencarian dilakukan pihak berwajib.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Norrimi Hassan berkata, sepanjang operasi dijalankan pasukan penyelamat tidak menemukan sebarang tumpahan minyak atau serpihan bot, bagi menjawab kemungkinan ia dilanggar kapal di perairan antarabangsa.
Menurutnya, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia juga memaklumkan gagal mengesan kedua-dua mangsa walaupun analisis Sistem Perancangan Optimum Mencari dan Menyelamat (SAROPS) mengandaikan mereka dipercayai dihanyutkan ke perairan negara jiran.
“Merujuk kepada nelayan tempatan yang juga rakan kepada kedua-dua mangsa yang keluar memukat memberitahu, mereka boleh mengenali serpihan bot terbabit jika berlaku pelanggaran.
“Sehingga hari ini kita masih belum lagi menjumpai sebarang tanda-tanda ataupun penemuan yang boleh menjurus kepada penemuan kedua-dua mangsa. Tidak ada sebarang petunjuk kita temui sepanjang SAR yang dilaksanakan yang masuk hari keempat hari ini.
“Kita melakukan pencarian dari Port Dickson, Negeri Sembilan hingga ke Muar, Johor meliputi 1,029 kilometer persegi dan jumlah keluasan sehingga hari ini berjumlah 4,357 kilometer persegi,” katanya ketika ditemui selepas taklimat ringkas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman di Jeti Nelayan Padang Temu, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, dua nelayan dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin ketika keluar memukat di perairan Pulau Undan.
Tekong bot, Muarep Sakem, 63, dan awak-awak, Rosenizam Maharam, 50, tidak pulang ke rumah setelah turun ke laut pada 15 Januari lalu.
Tambah Norrimi, Pangkalan Hadapan Carilamat yang diaktifkan di Jeti Nelayan Padang Temu akan ditutup bermula malam ini.
Jelasnya, operasi akan tetap diteruskan oleh semua agensi terlibat melalui operasi rutin masing-masing sehingga mangsa ditemukan.
“Jika ada penemuan baharu maka pusat ini akan diaktifkan semula,” ujarnya. – UTUSAN