Tayar lori tercabut ditemukan di pusat pelupusan sampah

Tayar lori tercabut ditemukan di pusat pelupusan sampah

KOMPONEN rim besi yang telah dikenal pasti di pusat pelupusan sampah di Jalan Solok,Tangkak, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Tayar lori yang tercabut dan menjadi punca kemalangan maut di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Simpang Ampat di sini, pada 23 Disember lalu telah berjaya ditemukan, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, komponen rim besi itu telah dikenal pasti di pusat pelupusan sampah di Jalan Solok,Tangkak, Johor dan telah diserahkan oleh sub kontraktor Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) kepada pihaknya.

Jelasnya, rim tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.

“Pegawai penyiasat kes bersama Ketua Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Alor Gajah dan anggota penguat kuasa telah pergi ke Pejabat Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Tangkak untuk berjumpa dengan Pegawai Operasi Propel.

“Keterangan Pegawai Operasi Propel menyatakan tidak menemui tayar lori treler di lokasi kejadian dan pegawai tersebut telah memberi maklumat bahawa sampah-sampah di lokasi kemalangan telah dibawa oleh sebuah lori roro.

“Usaha mencari dan mengesan tayar tersebut diteruskan dan semalam kita temui rim besi milik lori berkenaan di pusat pelupusan sampah di Tangkak,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) memohon bantuan dan kerjasama orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka atau maklumat tentang keberadaan tayar lori itu tampil menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya berharap maklumat yang diperoleh daripada orang ramai akan dapat menyempurnakan lagi siasatan punca insiden kemalangan tersebut.

Tragedi itu mengorbankan seramai tujuh orang membabitkan seorang pemandu dan seorang penumpang bas persiaran manakala lima lagi adalah pemandu dan penumpang kereta Toyota Estima.

Kenderaan-kenderaan yang terlibat adalah sebuah lori Foton, bas persiaran, kereta Perodua Bezza, lori Nissan dan kereta Toyota Estima. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya