KLANG: Polis mengesahkan seorang daripada tiga pekerja yang cedera dalam kebakaran sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Sungai Puloh di sini, semalam meninggal dunia di hospital.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu, kira-kira pukul 12.53 tengah malam.
Menurutnya, siasatan awal berdasarkan keterangan pengurus kilang itu mendapati enam individu berada dalam premis ketika kejadian.
“Tiga daripada enam pekerja itu selamat manakala tiga lagi cedera lalu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Shah Alam.
“Salah seorang mangsa yang cedera disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.32 petang semalam di HTAR akibat melecur pada tahap dua dan tiga,” katanya malam ini.
Utusan Malaysia melaporkan tiga lelaki warga asing parah akibat melecur dalam kebakaran melibatkan tiga buah kilang di kawasan berkenaan.
Kebakaran itu melibatkan penyimpanan gas di bangunan tiga tingkat sebelum merebak ke gudang tempat simpanan jentera berat dan kilang memproses tembaga.
Seramai 42 anggota termasuk pegawai dari tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terlibat dalam operasi pemadaman dan api berjaya dikawal pada pukul 2 pagi.
Jelas Vijaya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca tong gas petroleum cecair (LPG) yang disimpan di pekarangan kilang tersebut.
“Kejadian itu turut mengakibatkan kerosakan pada struktur bangunan dan kilang berdekatan. Nilai kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan kira-kira RM5 juta,” ujarnya.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM). – UTUSAN