KUALA SELANGOR: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun melecur dalam kebakaran melibatkan empat buah rumah di Taman Seri Tiram, Tanjong Karang di sini, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 11.36 pagi dan menggerakan sepasukan bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Bestari Jaya dikerah dalam operasi itu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kebakaran itu meliputi deretan empat rumah teres dua tingkat taman tersebut.
“Seorang remaja lelaki mengalami lecur tahap dua di bahagian tangan dan dibawa ambulans bagi menerima rawatan lanjut,” katanya petang tadi.
Menurut Ahmad Mukhlis, kebakaran melibatkan bangunan kelas A berkeluasan 1,200 kaki persegi setiap satu unit rumah.
“Dua rumah itu terbakar 50 peratus manakala dua lagi mengalami kebakaran 30 peratus. Anggota bomba sehingga kini masih giat melakukan kerja pemadaman di lokasi kejadian,” ujarnya.
Tambah beliau, punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN