ALOR GAJAH: Seorang pemandu lori tangki minyak masak melecur hampir 40 peratus apabila kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan besi di Kilometer 199.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan I Mohd. Sany Sahari berkata, kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu berpunca daripada lori tangki yang dipercayai tidak sempat menghentikan kenderaannya sebelum melanggar belakang lori muatan besi.
Menurutnya, ia menyebabkan lori tangki tanpa membawa muatan itu terbabas bersebelahan sebuah kereta BMW Z4 yang ketika itu berada di lorong kecemasan disebabkan kebocoran tayar.
“Berlaku percikan api menyebabkan kebakaran bermula daripada lori tangki tersebut hingga menyambar kereta BMW hingga kedua-duanya hangus terbakar.
“Pemandu lori tangki berusia 42 tahun melecur hampir 40 peratus, pemandu lori muatan besi pula tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu BMW Z4 pula berjaya menyelamatkan diri.
“Pasukan bomba berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran itu manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya ketika ditemui di lokasi.
Sementara itu, pemandu kereta BMW Z4, Tan Hong Ta, 36, berkata, tindakannya tidak berada dalam kenderaan berjaya menyelamatkan nyawanya daripada hangus akibat kebakaran yang berlaku.
Katanya, dia membuat keputusan berada di luar kereta sementara menanti ketibaan lori tunda kerana bimbang kemungkinan berlakunya kemalangan tidak diduga.
“Sewaktu menunggu hampir sejam lebih saya terkejut apabila melihat sebuah lori tangki tidak sempat membrek lalu melanggar belakang lori muatan besi hingga menyebabkan berlaku kebakaran yang turut membabitkan kereta saya.
“Mujur sewaktu kejadian saya berada di luar kereta, apabila lori dan kereta saya mula terbakar, saya berlari hampir 100 meter menyelamatkan diri,” katanya yang dalam perjalanan dari Johor Bahru, Johor ke Kuala Lumpur. – UTUSAN