JASIN: Seorang pemandu lori 20 tan yang membawa muatan pasir tersepit dalam kenderaan itu selepas terlibat kemalangan di Kilometer 178.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Azlan Ramli berkata, mangsa yang berusia 34 tahun itu tersepit dan mengalami kecederaan pada bahagian muka.
Ujarnya, lori dipandu mangsa terlibat nahas dengan sebuah lori lima tan dan sebuah kereta kira-kira pukul 11 pagi tadi.
“Lori lima tan itu membawa muatan barang pindah rumah, terdapat dua mangsa berumur 31 tahun dan 20 tahun cedera ringan.
“Pemandu kereta berumur 39 tahun selamat. Bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.
Tambah Mohd. Azlan, ketiga-tiga mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Jasin oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). – UTUSAN