Bas ekspres punca kemalangan 10 kenderaan

Bas ekspres punca kemalangan 10 kenderaan

NAHAS 10 kenderaan di Lebuh SPA berhampiran persimpangan ke Pusat Simpanan Kenderaan Berat, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kemalangan membabitkan 10 kenderaan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran persimpangan ke Pusat Simpanan Kenderaan Berat, Ayer Keroh di sini, semalam berpunca daripada bas ekspres yang melanggar belakang lori Isuzu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika tujuh kenderaan berhenti di lorong kiri manakala dua lagi di lorong kanan di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Menurutnya, siasatan mendapati bas ekspres yang datang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Terminal Bas Melaka Sentral itu telah melanggar belakang lori Isuzu.

“Insiden itu telah mengakibatkan kemalangan membabitkan enam kenderaan di lorong kiri iaitu pacuan empat roda jenis Mitsubishi, kereta Perodua Viva, Honda HR-V, Mitsubishi serta dua lori Hino berwarna kuning dan putih.

“Akibat daripada perlanggaran tersebut dua kenderaan yang berhenti di lorong kanan iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dan pacuan empat roda Nissan X-Trail telah terkena serpihan komponen kenderaan-kenderaan dari sebelah kiri,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pemandu bas ekspres cedera parah dalam kemalangan di Lebuh SPA.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka, Mohd. Pisar Aziz berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan pemandu bas ekspres yang tersepit.

Tambah Ashari, pemandu bas ekspres, Mohd Aidil Samsudin, 38, sedang dirawat di Hospital Melaka kerana mengalami patah kaki kiri serta luka di badan dan kepala.

Jelasnya, tujuh mangsa yang mengalami kecederaan ringan ialah pemandu dan kelindan lori Isuzu, sepasang suami isteri yang menaiki Perodua Viva serta pemandu dan dua penumpang Honda HR-V.

“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi bebas melihat kemalangan tersebut di tempat kejadian. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya