KOTA TINGGI: Bakal pengantin yang maut dalam kemalangan di Kilometer 52 Jalan Johor Bahru-Mersing petang kelmarin sepatutnya bertunang dan bernikah pada Jumaat ini.
Ibu saudara mangsa, Siti Nurul Fatihah Mahmud, 37, berkata, Allahyarham Siti Nabila Rudin, 22, yang bekerja sebagai operator kilang bertolak dari Kota Masai kira-kira pukul 1 tengah hari untuk balik ke Kelantan.
Katanya, Allahyarham seorang yang sangat rapat dengannya di mana sejak usia 16 tahun sudah tinggal bersamanya setiap kali cuti sekolah dan bekerja di Pasir Gudang selepas habis sekolah.
“Pagi sebelum bertolak ke Kelantan, dia ada hubungi saya katanya hendak cari ketam hidup untuk dibawa ke Kelantan, tetapi saya cakap kalau pagi tidak ada kalau petang ada. Kemudian arwah kata tidak apalah.
“Petang itu saya amat terkejut selepas tunangnya hubungi saya kira-kira pukul 3 lebih memaklumkan dia terlibat kemalangan. Kemudian saya dimaklumkan pihak polis bahawa Siti Nabila telah meninggal dunia.
“Manakala dua adiknya, Hafizah, 20, dan Alamin, 14, mengalami cedera parah dan dirawat di zon merah,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini semalam.
Dalam kemalangan itu, Hafizah cedera parah dan patah tulang pinggul serta kaki manakala Alimin patah tengkuk yang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, namun keadaan kedua-duanya stabil.
Siti Nurul Fatihah berkata, Allahyarham Siti Nabila akan melangsungkan majlis pertunangan dan pernikahan sekali gus pada Jumaat ini manakala majlis persandingan dirancang diadakan pada Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, baju, barang persiapan serta dokumen pernikahan juga turut ditemukan di dalam kenderaannya ketika nahas itu.
Katanya, arwah seorang yang kuat bekerja dan sebagai anak sulung dalam keluarga dia yang menanggung kos pelajaran adiknya, Alimin yang bersekolah di Sekolah Pondok Sungai Durian, Kuala Krai.
Katanya, jenazah Siti Nabila akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Baru Masai di Pasir Gudang.
Dalam pada itu, bakal suami mangsa, Tuan Muhammad Aiman Tuan Muda, 27, berkata, dia mengetahui kemalangan menimpa Siti Nabila ketika sedang dalam perjalanan untuk pulang ke Kelantan.
“Saya bekerja di Selangor. Polis hubungi saya beritahu Siti Nabila kemalangan namun ketika itu saya tidak tahu lagi dia sudah tiada. Memang masa itu saya dalam perjalanan hendak balik ke Kelantan untuk majlis kami namun terus tukar haluan ke Johor. Tidak lama kemudian ibu saudaranya memaklumkan bahawa Siti Nabila sudah tiada.
“Kami sudah berkawan selama lima tahun. Arwah adalah seorang yang baik dengan semua orang. Kami juga merancang untuk menetap di Selangor selepas bernikah,” katanya.-UTUSAN.