ALOR GAJAH: Polis mengesahkan bahawa kemalangan maut di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Simpang Ampat di sini, kira-kira pukul 8.30 malam semalam melibatkan lima kenderaan dan berpunca daripada tayar lori yang tercabut.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mangsa yang maut setakat ini adalah seramai tujuh orang membabitkan seorang pemandu dan seorang penumpang bas persiaran manakala lima lagi adalah pemandu dan penumpang kereta Toyota Estima.
Ujarnya, kenderaan-kenderaan yang terlibat adalah sebuah lori Foton, bas persiaran, kereta Perodua Bezza, lori Nissan dan kereta Toyota Estima.
Jelasnya, pemandu bas yang meninggal dunia ialah Noorisnien Khamid, 56, manakala penumpang, Lamrah Asid Ali, 66.
Katanya, lima mangsa daripada Toyota Estima yang maut ialah pemandu, Khairul Izwan Mazupi, 32; Fadzlenna Ramli, 32; Ramli Ab. Wahab, 66; bayi berusia dua tahun, Muhammad Umar Khairul Ikhwan dan Fauziah Jaafar, 69.
“Hasil siasatan mendapati lori Foton dan bas persiaran dari arah utara ke selatan manakala kereta Perodua Bezza, lori Nissan dan kereta Toyota Estima dari arah selatan ke utara. Apabila sampai di tempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori Foton telah tercabut dan berada atas jalan di lorong tengah.
“Kemalangan berlaku apabila bas yang membawa 27 penumpang tiba di tempat kejadian telah melanggar tayar tersebut dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Semasa bas terbabas ke lorong bertentangan, ia telah berlanggar dengan Perodua Bezza, lalu kereta itu terbabas ke lorong kiri jalan dan melanggar penghadang. Selepas itu bas telah bertembung dengan lori Nissan dan Toyota Estima,” katanya.
Tambah Ashari, mangsa-mangsa yang cedera ialah pemandu Perodua Bezza, Loh Hui Teng, 29; pemandu lori Nissan, Mohamad Syafiq Mohd. Zuki, 27, (Zon Kuning Hospital Melaka) dan kelindan lori Nissan, Ku Alif Ku Ahmad, 16, (Zon Hijau Hospital Melaka).
“Penumpang Toyota Estima yang cedera ialah Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, yang kini dirawat di Zon Kuning Hospital Melaka, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, di zon merah hospital sama dan seorang lagi mangsa belum dikenal pasti identitinya,” katanya.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN