MELAKA: Majlis sambutan hari lahir ketiga-tiga anak pasangan Khairul Ikhwan Mazupi, 32 dan Fadzlenna Ramli, 32, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Simpang Ampat di sini, semalam menjadi kenangan terakhir buat seluruh keluarga.
Adik Khairul Ikhwan, Nur Aqilah Mazupi berkata, sambutan itu diadakan serentak bagi mengelakkan Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, yang merupakan anak kedua merajuk, memandangkan lahir pada Februari berbanding abang dan adiknya pada Disember.
Katanya, kali terakhir dia bertemu abangnya adalah pada Sabtu lalu semasa mereka sekeluarga singgah di Seremban, Negeri Sembilan sebelum bertolak ke Melaka.
“Majlis diadakan di rumah nenek mereka di Bangi dan itu adalah sambutan kali pertama secara serentak. Abang dan kakak ipar tidak mahu anak kedua mereka merajuk kerana lahir bulan berbeza berbanding abang dan adiknya.
“Paling saya terkesan apabila melihat si bongsu, Muhammad Umar Khairul Ikhwan bersungguh-sungguh melambai kepada kami ketika mereka sekeluarga singgah sebentar di Seremban,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, polis mengesahkan bahawa kemalangan maut di Kilometer 204 PLUS arah utara berhampiran Simpang Ampat melibatkan lima kenderaan dan berpunca daripada tayar lori yang tercabut.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mangsa yang maut setakat ini adalah seramai tujuh orang membabitkan seorang pemandu dan seorang penumpang bas persiaran manakala lima lagi adalah pemandu dan penumpang kereta Toyota Estima.
Jelasnya, pemandu dan penumpang bas yang meninggal dunia ialah Noorisnien Khamid, 56, dan Lamrah Asid Ali, 66.
Katanya, lima mangsa daripada Toyota Estima yang maut ialah pemandu, Khairul Ikhwan Mazupi, Fadzlenna Ramli, Ramli Ab. Wahab, 66; Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, dan Fauziah Jaafar, 69.
Sementara itu, bapa Khairul Ikhwan, Datuk Mazupi Abdul Rahman, 64, berkata, dia tidak menyangka perjalanan pulang anaknya yang meraikan hari keluarga di Melaka berakhir tragedi.
Menurutnya, hatinya berdebar selepas dimaklumkan Khairul Ikhwan gagal dihubungi oleh anak-anaknya yang lain.
“Sebelum ini Khairul Ikhwan selalu guna kereta saya untuk membawa keluarga berjalan-jalan kerana dia ada tiga anak. Tetapi tidak sangka pula malam tadi perjalanan terakhirnya.
“Lebih tragis kejadian ini turut melibatkan menantu, cucu dan besan saya. Kesemua jenazah akan dibawa ke Bandar Baru Bangi dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas selepas Asar,” katanya. – UTUSAN