ALOR GAJAH: Penumpang bas persiaran yang maut dalam kemalangan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Simpang Ampat di sini, kira-kira pukul 8.30 malam semalam merupakan warga Singapura.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mangsa disahkan sebagai Lamrah Asid Ali berusia 66 tahun manakala identiti seorang lagi penumpang kereta Toyota Estima belum dapat dikenal pasti.
Ujarnya, seramai 32 lagi mangsa yang mengalami kecederaan kini sedang mendapatkan rawatan di beberapa hospital di Melaka.
“Terdapat beberapa lagi warga Singapura yang sedang mendapatkan rawatan di hospital-hospital dalam negeri ini.
“Siasatan masih diteruskan, kita minta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk menghubungi polis,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, polis mengesahkan bahawa kemalangan maut di Kilometer 204 PLUS arah utara melibatkan lima kenderaan dan berpunca daripada tayar lori yang tercabut.
Mangsa yang maut setakat ini adalah seramai tujuh orang membabitkan seorang pemandu dan seorang penumpang bas persiaran manakala lima lagi adalah pemandu dan penumpang Toyota Estima.
Ujarnya, kenderaan-kenderaan yang terlibat adalah sebuah lori Foton, bas persiaran, kereta Perodua Bezza, lori Nissan dan kereta Toyota Estima.
Jelasnya, pemandu bas yang meninggal dunia ialah Noorisnien Khamid, 56, manakala identiti penumpang belum dikenal pasti.
Katanya, lima mangsa daripada Toyota Estima yang maut ialah pemandu, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; Fadzlenna Ramli, 32; Ramli Ab. Wahab, 66; bayi berusia dua tahun, Muhammad Umar Khairul Ikhwan dan Fauziah Jaafar, 69. – UTUSAN