JASIN: Pemeriksaan fizikal pada tubuh bayi lelaki berusia enam bulan, Harraz Noah Nazrul Nizam yang dipercayai meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Merlimau di sini, semalam tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, setakat ini keputusan bedah siasat belum diperolehi bagi mengesahkan punca kematian mangsa.
Katanya, siasatan polis sama ada perlu menahan reman pengasuh wanita berusia 27 tahun itu bergantung kepada keputusan laporan bedah siasat dan laporan kimia.
“Saya mengesahkan tiada unsur-unsur jenayah ditemukan ketika pemeriksaan fizikal dilakukan. Setakat ini keputusan bedah siasat belum diperolehi.
“Berkenaan pengasuh adakan kita akan menahan reman, ia bergantung kepada keputusan laporan bedah siasat dan laporan kimia,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, perasaan hiba menyelubungi pasangan suami isteri, Nazrul Nizam Mohd. Tahar, 29, dan Ainol Izzah Raslan, 25, selepas mendapat perkhabaran duka bahawa anak tunggal lelaki mereka tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya.
Nazrul Nizam berkata, lebih memilukan apabila anaknya itu baharu sahaja pandai memakan makanan pejal kelmarin, yang mana kegembiraan itu hilang dalam sekelip mata.
Ujarnya, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, pengasuh memaklumkan bahawa Harraz Noah tidak sedarkan diri dalam keadaan terlentang dengan sehelai selimut menutupi mukanya. – UTUSAN