MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Simpang Ampat di sini, semalam.
Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri amat berdukacita atas nahas yang berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut.
“Mustahil tayar lori boleh tercabut kalau kenderaan berat itu dijaga dengan baik daripada segi aspek keselamatan. Akibat kecuaian itu sebuah kereta yang dipandu satu keluarga dan pemandu bas serta penumpang maut dalam kemalangan yang sangat tragis,” katanya ketika ditemui selepas program Dak Rauf Masuk Konti di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Melaka di sini, hari ini.
Pemandu bas yang meninggal dunia ialah Noorisnien Khamid, 56, manakala penumpang, Lamrah Asid Ali, 66, merupakan warga Singapura.
Lima mangsa daripada Toyota Estima yang maut ialah pemandu, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; Fadzlenna Ramli, 32; Ramli Ab. Wahab, 66; bayi berusia dua tahun, Muhammad Umar Khairul Ikhwan dan Fauziah Jaafar, 69.
Ab. Rauf turut menziarahi keluarga mangsa di Jabatan Forensik Hospital Melaka dan meluangkan masa hampir setengah jam.
Tambah Ab. Rauf, pihak berkuasa perlu mengambil langkah lebih proaktif terutama dalam aspek keselamatan kenderaan berat bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Sewaktu musim cuti sekolah dan sambutan Krismas, orang ramai sudah mula balik ke kampung dan kita kena pastikan kenderaan berat ini berada dalam keadaan selamat,” ujarnya. – UTUSAN