JASIN: Seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jasin menemui ajal selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Jasin-Merlimau di sini, ketika sedang dalam perjalanan menghadiri kuliah, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa, Muhammad Irfan Roslan, 20, yang merupakan pelajar jurusan sains komputer mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ujarnya, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, motosikal Yamaha NVX ditunggang pemuda itu dipercayai terbabas dan masuk ke jalan bertentangan lantas melanggar kereta Proton X70 dipandu seorang kontraktor berusia 39 tahun.
“Tiba di lokasi kemalangan, mangsa dipercayai terbabas dan masuk ke arah jalan bertentangan dan telah terlanggar sebuah kereta yang datang dari Jasin menghala ke Merlimau.
“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mangsa maut di lokasi kemalangan setelah disahkan oleh pengamal perubatan. Mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Tambah Ahmad Jamil, setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Punca kemalangan dipercayai kerana mangsa gagal mengawal kenderaan lalu terbabas di sebelah kanan jalan dan melanggar kenderaan yang datang dari arah bertentangan,” katanya. – UTUSAN