Tongkat jadi petunjuk identiti warga emas rentung terbakar

Tongkat jadi petunjuk identiti warga emas rentung terbakar

HAIZAN Husali menunjukkan foto terakhir bapanya yang diambil sewaktu berada di luar rumah dengan bertongkat di Felcra Lembah Kesang, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: “Penemuan tongkat milik abah dalam teksi akhirnya menjawab segala persoalan”.

Itu kata-kata yang mampu diungkapkan Haizan Husali, 43, anak kepada pasangan suami isteri warga emas yang maut rentung terbakar selepas teksi dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kampung Lanchang, Jalan Jasin-Merlimau di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, Husali Umar, 84, dan Mastura Said, 60, disahkan terbakar seluruh badan termasuk pemandu teksi, S. Subramaniam, 71.

Haizan berkata, dia mengetahui tentang nahas itu melalui abang iparnya, namun tidak dapat disahkan bahawa mangsa terlibat adalah orang tuanya.

Jelasnya, ketika mayat dibawa keluar oleh anggota penyelamat, mereka masih tidak pasti dengan identiti mangsa kerana keadaan mayat dan kereta yang hangus terbakar.

“Luluh hati saya dan adik-beradik yang lain mendapat tahu abah dan mak cik adalah mangsa yang rentung terbakar seluruh badan. Kami redha dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin.

KERETA Proton Iswara yang terlibat kemalangan dan terbakar di Kampung Lanchang, Jalan Jasin-Merlimau, Melaka.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, hasrat sepasang suami isteri warga emas untuk menziarahi anak mereka di Merlimau tidak kesampaian apabila teksi yang dinaiki terlibat kemalangan, lantas mengakibatkan mereka maut rentung terbakar bersama kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta Proton Iswara dari Jasin menghala ke Merlimau itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok jambatan.

Tambah Haizan, pada awalnya adik bongsu ingin menghantar pasangan itu dari Felcra Lembah Kesang ke rumahnya di Taman Merlimau Perdana, tetapi ditolak bapanya dengan alasan lebih selesa menaiki teksi.

“Memang arwah abah menaiki teksi itu sejak berbelas tahun. Sama ada hendak ke pasar, Merlimau atau Pekan Jasin. Dia cukup kenal pemandu teksi yang turut maut itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya