MELAKA: Seorang pelajar perempuan tingkatan lima maut manakala dua lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Peringgit di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu, mangsa, Nurul Emelda Faiz Wendyson, 17, yang menunggang motosikal Honda EX5 maut di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa bersama seorang wanita berusia 20 tahun dalam perjalanan dari Merlimau menghala ke Balai Panjang.
“Setiba di lokasi, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar kon penghadang jalan di sebelah kiri sebelum terjatuh di atas jalan raya. Sebuah motosikal Honda Vario ditunggang remaja lelaki berusia 17 tahun yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng dan penunggang motosikal Honda Vario mengalami luka pada muka, tangan, siku, lutut dan kaki,” katanya. – UTUSAN