SHAH ALAM: Seorang pegawai bank maut selepas terjatuh dan digilis akibat motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah kenderaan dekat Jalan Sungai Buloh – Subang, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Embol berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang, lelaki berusia 20 tahun itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila motosikal jenis GPX Demon G200R yang ditunggangi mangsa dari arah Sungai Buloh menghala Shah Alam disyaki bergesel dengan sebuah kenderaan tidak pasti yang bergerak di arah sama.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan penunggang penunggang berkenaan maut di tempat kejadian. Mangsa dipercayai dalam perjalanan ke pejabat dari arah Sungai Buloh,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Ramsay meminta mana-mana saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian (019-3229097). – UTUSAN