KLANG: Seramai 161 mangsa melibatkan 29 keluarga dipindahkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai dan Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bukit Kapar, Meru, di sini sejak sehingga pukul 9.30 pagi tadi.
Pemindahan itu susulan banjir melanda di kawasan-kawasan utama sekitar Meru dan Kapar akibat hujan tidak berhenti sejak petang semalam.
Malah, jalan-jalan utama seperti Jalan Cempaka, Jalan Teratai, Jalan Kopi, Jalan Kasim, Persiaran Hamzah Alang serta kawasan perindustrian Top Glove dan sekitarnya dinaiki air akibat hujan lebat lebih dua jam, semalam.
Selain itu, dua buah kereta sebelum ini dilaporkan terkandas dekat pusingan ‘U’ bawah jejambat di jalan yang menghubungkan Meru dengan Setia Alam berhampiran Klang Sentral apabila kawasan itu ditenggelami air.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, di Bukit Kapar, seramai 23 mangsa melibatkan 6 keluarga, sementara PPS di SK Sungai Binjai Pula menempatkan 34 keluarga terdiri daripada 138 individu.
“Kedua-dua PPS dibuka malam tadi. Pusat Operasi Smart Selangor (SSOC) akan terus memantau dan membuat tindakan susulan tentang kejadian yang berlaku selain menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar memberitahu, pihaknya mengerahkan 34 pegawai dan anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).
BBP terlibat adalah Kapar, Bukit Jelutong, Dengkil dan Subang Jaya bagi memantau operasi banjir di kawasan-kawasan berisiko banjir berikutan hujan sejak semalam.
“JBPM Selangor juga membuka dua bilik operasi banjir dan melakukan 16 pemantauan harian serta membantu memindahkan empat mangsa ke PPS sejak semalam. Klang dikenal pasti daerah terkesan banjir.
“Pemantauan dilakukan di Kapar melibatkan kawasan seperti di Jalan Abadi, Jalan Beruas Taman Jaya, Taman Daya, Jalan Mempari, Jalan Seri Kenangan, Jalan Nenas Serawak, sementara di Meru pula, Persiaran Hamzah Alang, Pekan Meru dan Petron Jalan Meru-Setia Alam,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pemantauan turut dibuat di Dengkil dan Subang Jaya masing-masing melibatkan kawasan Sungai Buah, Jambatan Sungai Dengkil, Jambatan Sekolah Vokasional dan Kampung Orang Asli Batu 28 serta Kampung Tengah dan Sungai Klang. – UTUSAN