KLANG: Jalan utama yang menghubungkan laluan antara Setia Alam dan Meru berdekatan Klang Sentral, di sini dilapor ditenggelami air sehingga menyebabkan dua kenderaan terkandas kira-kira pukul 7.53 malam, hari ini.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, paras air dilaporkan mencecah sehingga dua kaki.
Menurutnya, sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong dikerahkan ke tempat kejadian bagi memantau paras air dan keadaan di kawasan berkenaan.
“Terdapat mangsa terperangkap namun berjaya keluar dari kenderaan mereka sebelum bomba tiba di lokasi.
“Operasi pemantauan banjir itu berakhir tanpa melibatkan sebarang mangsa atau kecederaan. Laporan lanjut mengenai operasi turut menunjukkan semua mangsa selamat dan operasi dikendalikan dengan lancar.” katanya kepada pemberita, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Mukhlis mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati semasa hujan lebat, khususnya di kawasan-kawasan yang terdedah kepada banjir kilat.
Sementara itu pemerhatian Utusan Malaysia di laman sosial melibatkan komuniti yang tinggal di kawasan pekan Meru dan Bukit Kapar mendapati terdapat beberapa buah rumah dimasuki air akibat hujan lebat berterusan lebih 2 jam pada petang tadi.
Antara kawasan yang dinaiki air adalah Jalan Dato’ Johar, Bukit Kapar; Jalan Kopi, Jalan Jabar, Jalan Salleh, Jalan Haji Abd. Manan, Jalan Mohd. Sharif dan Jalan Kasim serta jalan-jalan berhampiran kawasan perindustrian Top Glove.
Selain itu Pekan Meru di Jalan Hamzah Alang juga dilimpahi air berikutan Sungai Binjai dilapor mencatat bacaan air melepasi paras bahaya.
Sementara itu, di Kapar air melimpah di Jalan Kempas dan Jalan Sebaya pada ketinggian hampir 0.5 meter menjejaskan kira-kira 50 buah rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Selangor, Mohd. Najwan Hilmi berkata, punca banjir dipercayai akibat hujan sangat lebat dalam tempoh singkat di bahagian hulu bukit yang turut diburukkan dengan sistem saliran dalaman tidak mampu menampung kapasiti air larian yang tinggi.
Menurutnya, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Kapar dibuka yang kini menempatkan enam sekeluarga.
“Saliran dalaman di kawasan Jalan Kempas tidak dapat menampung kapasiti larian air hujan dari kawasan tinggi (Bukit Cerakah & Bukit Kapar)
“Perancangan sistem saliran di kawasan kediaman dan kebun yg lebih sistematik ke parit utama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Meningkatkan kekerapan penyelenggaraan saliran.Naiktaraf sistem perparitan Kampung Bukit Kapar.
Pada pukul 8.25 malam, tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan kejadian ribu petir, hujan lebat dijangka berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selain sebahagian kawasan selatan Perak, Negeri Sembilan, Melaka serta Tangkak dan Muar di Johor. – UTUSAN