MELAKA: Mayat seorang pengawal keselamatan yang dipercayai telah meninggal dunia sejak Khamis lalu ditemukan rakannya dalam keadaan sudah mereput di sebuah asrama kolej swasta di Ayer Keroh di sini, semalam.
Lelaki berusia 46 tahun yang berasal dari Sabah itu ditemukan kira-kira pukul 2.30 petang dalam keadaan tertiarap di lantai.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kali terakhir individu yang menemukan mayat berjumpa dengan si mati adalah Rabu lalu, selepas mangsa memaklumkan dirinya tidak sihat dan memperoleh cuti sakit selama dua hari.
“Menurut siasatan awal, rakan si mati telah datang ke lokasi bagi memeriksa keadaan mangsa dan membawakannya makanan selepas dimaklumkan tidak sihat.
“Si mati tidak datang bekerja semalam dan rakannya itu telah ke asrama untuk memeriksa keadaannya sebelum menjumpai mayat lelaki itu dalam keadaan mereput,” katanya.
Tambah Christopher, si mati bekerja di kolej berkenaan sejak 2019 dan tinggal berseorangan di Melaka manakala siasatan di lokasi kejadian setakat ini tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Jelasnya, sebelum ini mangsa ada memberitahu rakannya bahawa dia menghidap penyakit kencing manis.
“Hasil proses bedah siasat dijalankan Unit Forensik Hospital Melaka mengesahkan kematian adalah disebabkan oleh coronary ahterosclerosis (mayat mereput) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN