Mayat Mokthar ditemukan 200 meter dari lokasi selipar

Mayat Mokthar ditemukan 200 meter dari lokasi selipar

MAYAT Mokthar Othman yang dipercayai lemas kerana tergelincir di Sungai Pengkalan, Taman Persisiran Sungai, Melaka ditemukan anggota SAR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Mayat seorang pengurus kilang, Mokthar Othman, 61, yang dipercayai lemas kerana tergelincir di Sungai Pengkalan, Taman Persisiran Sungai di sini, berjaya ditemukan anggota mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 2.25 petang tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian kira-kira 200 meter dari tebing sungai iaitu lokasi seliparnya dijumpai, semalam.

Jelasnya, pencarian telah dijalankan di lokasi mayat dijumpai sebelum ini, namun berdepan kekangan kerana arus sungai yang deras.

“Kita memohon kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menutup Pintu Air Kampung Gadek seawal pukul 8 pagi untuk menurunkan paras air di kawasan pencarian.

“Pukul 12.30 tengah hari kedua-dua anjing pengesan mengesan kewujudan tanda yang biasanya mayat manusia pada jarak lebih dari 200 meter.

“Kemudian pada pukul 2.25 petang, orang awam ternampak objek berwarna putih terapung pada jarak 200 meter dari lokasi terakhir mangsa dikesan. Hasil pemeriksaan mendapati benar penemuan mayat seorang lelaki lengkap berpakaian,” katanya.

Semalam, Mokthar dilaporkan dikhuatiri lemas akibat tergelincir ketika ingin membuang air di Sungai Pengkalan selepas tandas awam yang dimasukinya berkunci dari dalam.

Panggilan kecemasan diterima JBPM daripada ahli keluarga mangsa pukul 5.39 pagi memaklumkan, warga emas itu hilang dan dipercayai terkunci dalam tandas awam di sungai berkenaan, kerana keretanya berada di lokasi itu.

Mangsa dikatakan memberitahu isterinya bahawa dia mengalami sakit perut, sebelum keluar seorang diri untuk membeli makanan kira-kira pukul 1.50 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN