MELAKA: Lubang benam sedalam hampir dua meter yang berlaku di hadapan Balai Polis Ayer Keroh di sini, disahkan berpunca daripada aliran air longkang mengalir di celah-celah pembetung yang renggang, sehingga melemahkan struktur tebing.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Mokhtar berkata, mendapan di Jalan TU 2, Taman Tasik Utama itu disedari anggota polis bertugas kira-kira pukul 3 pagi tadi.
Ujarnya, kerja baik pulih sedang dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh tiga hari bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk melibatkan kehilangan nyawa.
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana JKR sentiasa membuat pemantauan di setiap jalan di negeri ini.
“Sepatutnya air longkang tidak masuk ke sini dan ada saliran lain, namun itu yang berlaku mendapan sedalam dan selebar dua meter.
“Tindakan awal kita akan berhentikan pengaliran air itu dan akan membuat pemeriksaan lanjut di sepanjang pembetung tersebut bagi memastikan tiada ruang di antara pembetung hingga air boleh mengalir,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee meminta pihak berwajib menjalankan siasatan menyeluruh sama ada wujud atau tidak pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) semasa pemasangan pembetung.
“Kejadian ini boleh berlaku di mana-mana sahaja. Nasib baik tidak mengakibatkan kecederaan atau kematian.
“Ada atau tidak pelanggaran SOP kerja semasa kerja pemasangan pembetung longkang, saya menyeru pihak berkenaan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengelakkan perkara yang sama berulang,” katanya. – UTUSAN