MELAKA: Hujan lebat berterusan sejak malam semalam menyebabkan sebanyak 24 kawasan di ketiga-tiga daerah di Melaka dilanda banjir kilat.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Melaka, Lt. Kol. (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, setakat pukul empat petang, seramai 66 mangsa berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak pagi tadi.
Ujarnya, Jasin menjadi daerah paling ramai mendaftar PPS setakat ini dengan 48 mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu.
“Di Alor Gajah kita buka tiga PPS iaitu Balai Raya Kampung Gadek, Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan.
“Namun, setakat ini hanya PPS Balai Raya Kampung Gadek sahaja yang menempatkan 14 mangsa daripada lima keluarga. Dua lagi PPS masih dalam proses pendaftaran.
“Di Melaka Tengah, hanya satu PPS dibuka iaitu Balai Raya Paya Ikan. Terdapat empat mangsa yang merupakan sebuah keluarga ditempatkan di situ,” katanya.
Tambah Kamarulsyah, kawasan-kawasan terjejas di Jasin adalah Janda Berhias, Lanchang, Semujuk, Kampung Kilang Berapi, Kampung Paya Lengkong, Kampung Sungai Dua Asahan dan Kampung Nyalas.
Jelasnya, Alor Gajah mencatatkan jumlah kawasan paling banyak dinaiki bah melibatkan Brisu, Kampung Paya Lebar, Sungai Siput, Bukit Balai, Kampung Beringin, Bukit Tambun, Kampung Gadek dan Kampung Padang Kambing.
“Banjir turut berlaku di Kemuning, Kampung Ramuan China Besar, Kampung Belimbing Dalam, Jalan Keretapi Lama, Kampung Pengkalan, Kampung Lubuk Redan, Kampung Pulau, Seri Jeram dan Kampung Londang.
“Di Melaka Tengah hanya terdapat satu sahaja kawasan terjejas iaitu di Kampung Paya Ikan,” katanya. – UTUSAN