ALOR GAJAH: Seorang penunggang motosikal berdepan detik cemas nyaris lemas dihanyutkan banjir kilat dengan berpaut pada sebatang kayu, sebelum berjaya diselamatkan anggota penyelamat, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi, mangsa yang sebelum itu cuba meredah banjir dengan mengekori sebuah lori di Jalan Batu Alang, Lubok China di sini dilihat gagal mengawal kendaraannya, lantas terjatuh dan dihanyutkan arus deras.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II Norhayati Rahmat berkata, pihaknya mengambil masa hampir satu jam untuk menyelamatkan lelaki berusia 34 tahun itu.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 7.45 pagi. Terdapat seorang mangsa hanyut dibawa arus banjir semasa melalui jalan raya yang terlibat banjir.
“Kita segera memulakan operasi kerja-kerja menyelamatkan mangsa yang sedang berpaut pada sebatang kayu. Kedalaman banjir dianggarkan sekitar 1.2 meter dan mangsa diselamatkan kira-kira pukul 8.40 pagi,” katanya.
Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Melaka memaklumkan, sekurang-kurangnya 16 kawasan di Alor Gajah dan Jasin dinaiki bah, susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Di Alor Gajah, kawasan yang terjejas adalah Brisu, Kampung Paya Lebar, Sungai Siput, Bukit Balai, Kampung Beringin, Bukit Tambun, Kampung Gadek, Kampung Padang Kambing, Kemuning dan Ramuan China Besar.
Sementara itu, di Jasin banjir melanda Janda Berhias, Lanchang, Semujuk, Kampung Kilang Berapi, Kampung Paya Lengkong dan Kampung Sungai Dua Asahan.
Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di kedua-dua daerah. – UTUSAN