KUALA SELANGOR: “Biarpun lanjut usia, memori abah masih kuat dan kerap bercerita mengenai rakannya yang sudah tiada. Namun, kini abah pula pergi menghadap Ilahi dan meninggalkan kami buat selamanya.”
Demikian luahan Noraslinda Daud, 44, anak kepada lelaki warga emas berusia 92 tahun yang maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di Kilometer 60.5 Jalan Klang-Teluk Intan, Tanjong Karang di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu berlaku ketika mangsa, Allahyarham Daud Salim dipercayai mahu bersarapan pagi di sebuah kedai makan berdekatan lokasi tersebut.
Noraslinda yang menetap di Klang berkata, dia kebiasaannya akan menghubungi kakak sulung, Rohana, 59, untuk bertanyakan keadaan kesihatan datuk kepada 18 cucu dan seorang cicit itu.
“Namun, saya terkejut apabila menerima panggilan telefon kakak pada pagi kejadian bahawa abah terlibat dalam kemalangan.
“Sewaktu perjalanan pulang ke kampung, saya tidak putus berdoa namun kami reda apabila arwah disahkan meninggal dunia di Hospital Tanjong Karang,” katanya sebak ketika ditemui di kediaman arwah, hari ini.
Menurut anak bongsu daripada tujuh beradik itu, arwah menjadikan aktiviti membersih rumput, meracun dan menyapu daun kering di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Karang sejak usia muda.
“Abah tidak pernah meminta upah daripada sesiapa dan suka melihat semua kubur dalam keadaan terjaga tanpa mengira waris atau saudara mara. Kini, jenazah arwah turut selamat dikebumikan di tanah perkuburan sama, kira-kira pukul 5 petang semalam,” ujarnya.
Tambah Noraslinda, arwah juga sering kali mengingati beberapa rakannya yang meninggal dunia sebelum ini.
“Kehilangan abah amat dirasai kerana dia menjadi tempat kami mencurah kasih sayang selepas ibu meninggal dunia dua tahun lalu. Saya kali terakhir bertemu ketika Hari Raya Aidiladha lalu dan kami sempat merakam kenangan bersama biarpun abah agaknsusah untuk bergambar,” luahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, siasatan mendapati pemandu sebuah kereta Nissan Sentra berusia 69 tahun datang dari arah Kuala Selangor menghala ke Tanjong Karang.
“Mangsa dipercayai melintas jalan menyebabkan kenderaan itu yang berada berdekatan gagal mengelak lalu melanggarnya.
“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi mendapatkan rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11.25 pagi hari sama,” katanya – UTUSAN