KUALA SELANGOR: “Selain mengirimkan duit belanja, dia (arwah) sempat menelefon ibu sebelum tragedi itu,”.
Demikian kata Mohd. Sufri Mohd. Nuzi, 35, abang kepada seorang pemuda yang maut bersama tiga individu lain dalam kemalangan berhampiran sebuah pusat beli belah di Putrajaya, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Viva dinaiki empat mangsa termasuk dua wanita itu hilang kawalan sebelum terbabas melanggar penghadang jalan.
Menurutnya, Allahyarham Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24, sempat menghubungi ibu mereka, Wan Nor Fiza Muhammad Kamarudin, 56, untuk bertanyakan khabar, kira-kira pukul 8 malam tadi.
“Ibu kini terlalu sebak kerana seolah-olah tidak percaya itu kali terakhir dapat mendengar suara arwah.
“Arwah adik juga sempat mengirim duit belanja kepadanya sebelum ini dan tidak menyangka Danial pergi buat selamanya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Pancaran, Bestari Jaya, semalam.
Tambahnya, allahyarham yang merupakan anak kelapan daripada 10 beradik itu menetap di Ijok manakala ibu mereka di Pontian, Johor.
“Saya kali terakhir bertemu dengan arwah ketika kami sekeluarga berkumpul di rumah bapa di Bestari Jaya, Sabtu lalu. Danial nampak ceria dan banyak tersenyum dan itulah kenangan terakhir arwah yang akan kami simpan sebagai kenangan,” ujarnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan empat termasuk dua wanita disahkan maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dimaklumkan kemalangan itu yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi.
Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan kereta Viva hilang kawalan sebelum terbabas melanggar penghadang jalan.
Kemalangan itu turut mengakibatkan pemandu dan tiga penumpang berusia 24 hingga 41 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian. – UTUSAN