ALOR GAJAH: Hasil bedah siasat terhadap mayat pengurus kilang, Mokthar Othman, 61, yang mati lemas kerana tergelincir di Sungai Pengkalan, Taman Persisiran Sungai di sini, Ahad lalu menunjukkan mangsa mengalami serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa terjatuh ke dalam sungai selepas diserang penyakit berkenaan.
Ujarnya, setakat ini tiada sebarang unsur jenayah ditemukan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan selama tiga jam menunjukkan punca kematian mangsa adalah disebabkan serangan jantung. Mungkin mangsa mendapat serangan jantung dan terjatuh ke dalam sungai,” katanya.
Semalam, mayat mangsa ditemukan pada pukul 2.25 petang dalam keadaan lengkap berpakaian kira-kira 200 meter dari tebing sungai iaitu lokasi seliparnya dijumpai.
Pencarian telah dijalankan di lokasi mayat dijumpai sebelum ini, namun berdepan kekangan kerana arus sungai yang deras.
Mokthar dilaporkan dikhuatiri lemas akibat tergelincir ketika ingin membuang air di Sungai Pengkalan selepas tandas awam yang dimasukinya berkunci dari dalam. – UTUSAN