ALOR GAJAH: Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Sungai Petai di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Rabiatul Adawiyah Swetha Abdullah, 35, maut di lokasi nahas akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss dan sebuah lori Hino sedang dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Alor Gajah.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun yang sedang berhenti di lampu isyarat. Akibat rempuhan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah dan borang Pol. 61 dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Tambah Ashari, siasatan awal mendapati nahas berlaku di jalan tiga lorong dan simpang tiga yang mempunyai lampu isyarat manakala keadaan cuaca adalah baik serta cerah.
“Bagaimanapun tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi bebas yang melihat kejadian tersebut. Kenderaan terlibat telah ditahan dan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN