MELAKA: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengeluarkan notis larangan atas kesalahan melanggar Seksyen 34 b (1) (c) Akta Lembaga Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Pindaan) 2011 terhadap projek pembinaan bangunan yang runtuh di Jalan Bukit Senjuang, Banda Hilir di sini, kelmarin.
Pengerusi Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, ia berkaitan kesalahan gagal memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas kerja pembinaan.
Jelasnya, bagi mengelak insiden sama berulang, penduduk setempat juga diharap dapat membantu pihak berkuasa memberi maklumat mengenai sebarang projek mencurigakan di kawasan mereka.
“Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk setempat berhubung pembinaan di sini, kerana kawasan tersebut dikepung dengan kepingan zink dipercayai cuba mengelak daripada projek pembinaan itu diketahui umum.
“Syarikat terlibat dilarang memulakan dan meneruskan kerja pembinaan, selagi pemiliknya tidak tampil untuk memberi keterangan atas insiden yang berlaku,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, projek pembinaan bangunan yang runtuh di Jalan Bukit Senjuang disahkan dibina secara haram tanpa kebenaran MBMB.
Kejadian pukul 6 petang itu menyebabkan seorang buruh warga Bangladesh berusia 22 tahun maut di lokasi manakala dua lagi pekerja warga Pakistan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. – UTUSAN