Pelajar 17 tahun maut dalam perjalanan ke sekolah

Pelajar 17 tahun maut dalam perjalanan ke sekolah

KERETA Honda CRZ tidak sempat mengelak lalu menyeret mangsa ke arah kiri jalan dalam kejadian di Jalan Datuk Mohd. Zin, Batu Berendam, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Datuk Mohd. Zin, Batu Berendam di sini, hari ini.

Ketika kejadian kira-kira pukul 8.05 pagi itu, mangsa yang berusia 17 tahun sedang dalam perjalanan dari Taman Merdeka menuju ke sekolah dengan menunggang motosikal Yamaha Y110.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semasa mangsa memotong sebuah kereta Nissan X-trail dari arah kanan di garisan berkembar, berlaku pergeselan sehingga menyebabkan motosikalnya terbabas ke arah kanan jalan.

“Semasa di lokasi kemalangan, pemandu Nissan X-trail hendak masuk ke simpang sebelah kanan jalan menghala bengkel kereta. Datang mangsa dari arah belakang telah memotong di sebelah kanan menyebabkan berlaku pergeselan.

“Mangsa terbabas ke arah kanan jalan lalu datang sebuah lagi kereta Honda CRZ dari arah bertentangan tidak sempat untuk mengelak lalu menyeret mangsa ke arah kiri jalan.

“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya.

Tambah Christopher, punca kemalangan dipercayai kerana mangsa telah memotong dari arah kanan di garisan berkembar.

Ujarnya, saksi bebas yang melihat kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya