Lebih 30 rumah di Kuala Sungai Baru rosak dibadai ribut

Lebih 30 rumah di Kuala Sungai Baru rosak dibadai ribut

SEORANG penduduk, Mohd. Khairul Ahmad Johan menunjukkan ruang dapur yang berselerak dibadai ribut di Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Lebih 30 buah rumah di Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru di sini rosak antaranya bumbung tercabut dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda, awal pagi tadi.

Sidang Kampung Permatang Darat, Zaidi Buang, 52, berkata, angin kencang mula membadai kawasan itu kira-kira pukul 3.30 pagi hingga 4.15 pagi, sewaktu rata-rata penduduk sedang nyenyak tidur.

Jelasnya, tragedi itu merupakan kejadian pertama melanda kampung berkenaan dan tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa berlaku.

“Suasana menjadi huru-hara apabila penduduk keluar dari rumah meminta tolong sejurus angin dan hujan reda. Masing-masing terkejut melihat bumbung rosak dan ada yang diterbangkan angin kencang.

“Penduduk lain turut keluar beramai-ramai membantu mangsa-mangsa yang rumah mereka teruk dilanda ribut serta memberi mereka tempat untuk berteduh.

“Saya pergi meninjau dan mendapati antara 20 hingga 30 buah rumah rosak teruk, malah ada penduduk tidak boleh mendiami rumah mereka kerana ketiadaan bumbung. Perkara ini telah dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kuala Linggi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, seorang warga emas, Nafisah Diron, 70, berkata, sewaktu kejadian dia bersama cucunya berusia 12 tahun dan terjaga selepas mendengar pintu kaca rumahnya pecah.

“Saya tengok di ruang tamu pintu kaca pecah, sofa dan meja berselerak kerana angin kencang. Mujur saya berselindung di ruang tengah, perasaan sangat takut ketika itu. Memang tidak dapat buat apa-apa sebab angin terlalu kencang,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Zulkarnain Atan, 40, berkata, dia terjaga kira-kira pukul 3.30 pagi selepas terdengar bunyi atap dibadai ribut.

“Ketika itu saya bersama emak, kakak, abang ipar dan anak buah sedang tidur dan kami bangun menyelamatkan diri apabila bumbung rumah diterbangkan angin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya