JASIN: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini menurun daripada 275 orang kepada 238 orang, setakat pukul 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Lt Kol. (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, bagaimanapun jumlah keluarga yang terjejas meningkat kepada 79 berbanding 77 sebelum ini.
Katanya, kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat, SK Tedong dan SMK Datuk Abdul Rahman Ya’kub.
“Jumlah mangsa di PPS SMK Dang Anum menunjukkan penurunan paling ketara daripada 216 orang kepada 122 orang. PPS SK Serkam Darat kekal dengan 30 mangsa manakala SK Tedong mencatatkan peningkatan mangsa daripada 29 orang kepada 33 orang.
“Sementara itu, seramai 53 mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di PPS SMK Datuk Abdul Rahman Ya’kub,” katanya.
Tambah Kamarulsyah, hujan lebat yang berlaku awal pagi tadi mengakibatkan dua kawasan di Jasin iaitu Kampung Kilang Berapi dan Lubok Buaya terjejas banjir kilat.
“Fenomena alam itu turut menjejaskan 12 kawasan di Melaka Tengah tetapi tiada PPS yang dibuka. Kawasan terlibat adalah di Paya Redan, Bukit Nibong, Paya Dalam, Bukit Durian, Bukit Duyong dan Jambatan Duyong.
“Turut terjejas Duyong Tengah, Kampung Pantai Kundor, Gedong Lalang, Pernu, Bukit Meta dan Padang Temu,” ujarnya. – UTUSAN