Hujan lebat, pertembungan air pasang punca banjir di Melaka

Hujan lebat, pertembungan air pasang punca banjir di Melaka

RAIS Yasin melawat mangsa banjir di PPS SMK Dang Anum, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Taburan hujan lebat daripada kebiasaan sejak kebelakangan ini dan pertembungan air pasang menjadi punca utama banjir kilat yang melanda beberapa lokasi di Melaka terutama di Merlimau dan Serkam di sini.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, faktor-faktor lain termasuk pembinaan taman perumahan baharu dilihat tidak menjadi punca bah melanda kawasan terlibat.

“Penduduk memberitahu banjir kali ini adalah paling buruk seperti di Kampung Kilang Berapi, selama tiga tahun tidak dilanda musibah, tetapi kali ini mereka dilanda banjir.

“Penduduk mendakwa air mula memasuki rumah mereka bermula pukul 3 pagi (semalam) sehingga ada penduduk tidak sempat menyelamatkan pelbagai barang, kerana air naik hingga ke paras pinggang,” katanya ketika ditemui di PPS SMK Dang Anum dan SMK Datuk Abdul Rahman Yakub, semalam.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, mangsa banjir di negeri ini menurun daripada 212 orang kepada 208 orang dan sedang berlindung di empat PPS iaitu SMK Dang Anum, SMK Datuk Abdul Rahman Yakub, Sekolah Kebangsaan (SK) Tedong dan SK Serkam Darat.

Tambah Rais, kejadian kali ini turut menenggelamkan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Merlimau yang kini dalam pembinaan bagi penyelesaian banjir jangka panjang.

“Saya juga turut puas hati dengan segala kemudahan disediakan di PPS yang dilihat terkawal termasuk makan dan minum semua mangsa. Saya mahu semua mangsa berada dalam keadaan baik sebelum pulang ke rumah masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya