Lubang sedalam 1.7 meter hampir ragut nyawa penghantar

Lubang sedalam 1.7 meter hampir ragut nyawa penghantar makanan

IZZAT IRSYADUDDIN Daud menunjukkan lubang sedalam 1.7 meter yang dielaknya di Jalan Syed Abdul Aziz berhampiran Jalan Melaka Raya, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hanya ‘alhamdulillah’ dapat dilafazkan seorang penghantar makanan, Izzat Irsyaduddin Daud, 36, sebaik sahaja berjaya mengelak lubang dengan kedalaman 1.7 meter yang tiba-tiba terbentuk di Jalan Syed Abdul Aziz berhampiran Jalan Melaka Raya di sini, hari ini.

Izzat Irsyaduddin berkata, meskipun mengalami kecederaan pada bahagian kaki, dia tetap bersyukur tidak menjadi korban tragedi itu dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Katanya, dia dimaklumkan sebelum itu terdapat seorang lagi penunggang motosikal dan sebuah lori yang telah melanggar lubang berkenaan. 

“Jalan ini memang hari-hari saya lalu disebabkan kerja sebagai seorang penghantar makanan. Kali terakhir saya lalu malam tadi lubang ini belum ada.

“Saya dimaklumkan sebelum saya, ada sebuah lori dan seorang pak cik menaiki motosikal turut terlibat kemalangan. Cumanya saya hanya cedera ringan manakala pak cik itu dikatakan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.

“Nasib saya baik perasan lubang ini awal, kalau tidak mungkin saya menjadi korban kerana tiba-tiba sahaja ada lubang, semalam memang tidak ada,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi kejadian.

JKR melakukan tinjauan di lokasi lubang sedalam 1.7 meter di Jalan Syed Abdul Aziz berhampiran Jalan Melaka Raya, Melaka.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Mokhtar berkata, kewujudan lubang selebar satu meter dengan panjang mencecah 3.5 meter itu berpunca daripada pembetung kekotak yang pecah kerana dilalui kenderaan muatan berat melebihi had ditetapkan.

Ujarnya, pihaknya akan menutup lokasi terjejas manakala trafik akan dilencongkan melalui laluan kontra, sementara menunggu kerja-kerja pembaikan selesai.

“Kejadian ini berlaku kerana kegagalan pembetung di tapak, berpunca daripada muatan yang lebih melalui jalan ini.

“Kita akan hadkan muatan kepada 10 tan sahaja dan pihak JKR akan mohon peruntukan segera daripada ibu pejabat. Saya difahamkan esok kita akan buat permohonan peruntukan tersebut untuk kerja-kerja pembaikan kekal,” katanya.

Terdahulu, pengguna media sosial mendakwa lubang berkenaan merupakan lubang benam (sinkhole) memandangkan kawasan itu merupakan daratan hasil daripada penambakan laut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya