ALOR GAJAH: Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang dihempap pokok tumbang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Perindustrian Kelemak di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Ikhmal Hakimi Hasrul Rizuan, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa yang menunggang motosikal sedang dalam perjalanan dari arah Alor Gajah ke rumahnya di Taman Lendu Bakti, Masjid Tanah.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, sebatang pokok telah menghempap tangki minyak motosikal mangsa menyebabkannya tercampak ke atas jalan yang mana kedudukannya dengan motosikal adalah sejauh 30 meter.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi nahas oleh pegawai perubatan. Mayat mangsa diserahkan kepada Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,” katanya.
Tambah Ashari, polis sedang mengesan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Kenderaan terlibat ditahan dan akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN