JASIN: Seorang penyelia putus pergelangan tangan kanan selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas dalam kejadian di Jalan Bemban-Gapam di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, mangsa, Maria Josph, 51, turut mengalami kecederaan parah pada bahagian pergelangan tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu Mitsubishi Triton dalam perjalanan dari Bemban menghala ke Melaka.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika sedang melalui selekoh. Pacuan empat roda tersebut kemudiannya terbabas ke tengah jalan dan melanggar tiang lampu sebelum terbalik di tengah pembahagi jalan.
“Impak kemalangan itu menyebabkan pergelangan tangan kanan mangsa putus manakala pergelangan tangan kiri mengalami kecederaan parah. Mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Tambah Ahmad Jamil, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN