Permohonan Mohd. Fikry bertukar ke Kem Sungai Udang dipertimbangkan

Permohonan Mohd. Fikry bertukar ke Kem Sungai Udang dipertimbangkan

ADLY Zahari berbual dengan Mohd. Fikry Amri Abdul Halim dan Sabrina Hakiem Zaini sewaktu menziarahi keluarga itu di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kementerian Pertahanan mempertimbangkan permohonan Mejar Ir. Ts. Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 39, berhubung perubahan penempatan tugasnya dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Kem Perdana, Sungai Besi, Kuala Lumpur ke Kem Sungai Udang dekat sini.

Mohd. Fikry ialah bapa kepada bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri yang meninggal dunia di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama, semalam.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kementerian prihatin dengan situasi sukar sedang dialami keluarga itu yang memerlukan mereka berada berdekatan memandangkan si suami berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi, manakala si isteri seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Naning.

“Keluarga ini seorang di Sungai Besi dan isterinya di Melaka, jadi kita tengok kebajikan. Itu yang dapat kita lakukan. Maka kita panjangkan permohonan keluarga ini.

“Jadi ini adalah salah satu pertimbangan kita di peringkat kementerian agar beliau (Mohd. Fikry) ditempat ke penempatan lain dari RAJD. Mungkin ada sedikit perubahan akan dibuat,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi Mohd. Fikry dan isterinya, Sabrina Hakiem Zaini di Taman Kelemak Utama, hari ini.

Pagi tadi, pengasuh yang dikatakan menekap muka Allahyarham Muhammad Al Fateh sehingga menyebabkan mangsa maut dalam kejadian di sebuah taska di Taman Kelemak Utama semalam direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga Jumaat dikeluarkan Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri terhadap suspek berusia 34 tahun itu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan tegas terhadap taska-taska yang beroperasi tanpa lesen, kerana ia melibatkan nyawa kanak-kanak dan pertumbuhan pembesaran mereka.

“Saya difahamkan taska ini tidak mempunyai lesen dan harus ada tindakan tegas kepada pusat jagaan yang tidak berlesan ataupun yang menggunakan lesen utama menubuhkan cawangan-cawangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN