Pemotong rumput warga Bangladesh maut terkena renjatan elektrik

Pemotong rumput warga Bangladesh maut terkena renjatan elektrik

MANGSA berusia 39 tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja memotong rumput di Taman Perkota, Bukit Baru, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki warga Bangladesh menemui ajal ketika melakukan kerja-kerja memotong rumput di Taman Perkota, Bukit Baru di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, si mati, Habib Ullah, 39, dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengalihkan kabel dari tanah yang mengganggu kerja-kerja pemotongan rumput.

Ujarnya, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi tadi, rakan-rakan sekerjanya cuba membantu menggunakan kayu bagi menjauhkan mangsa dengan kabel tersebut, namun tidak berhasil.

“Menurut saksi pada pukul 10.30 pagi, semasa proses mesin rumput dijalankan mereka seramai lima orang bekerja bersama. Mangsa telah memotong rumput berseorangan di kawasan kejadian.

“Semasa kejadian mangsa cuba mengalihkan kabel dari tanah yang mengganggu kerja-kerja pemotongan rumput. Semasa mangsa memegang kabel tersebut, badannya mengalami renjatan elektrik.

“Saksi bersama rakan yang lain terus membantu dengan menggunakan kayu bagi menjauhkan mangsa dengan wayar elektrik. Mangsa alami renjatan elektrik lebih kurang satu minit. Ambulans telah dipanggil dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

Tambah Christopher, hasil pemeriksaan dan pemerhatian terhadap fizikal si mati dan sekitar tempat kejadian tidak menemukan sebarang unsur perbuatan jenayah.

Jelasnya, lokasi kejadian merupakan kawasan yang bukan asing bagi mangsa kerana sudah hampir dua tahun diuruskan oleh majikannya.

“Mayat si mati dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN