MELAKA: Seorang pembantu kedai makan maut selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta di lampu isyarat persimpangan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Bachang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, mangsa berusia 23 tahun meninggal dunia di Hospital Melaka akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dalam perjalanan dari Jalan Tun Perak menghala ke Bachang.
“Setibanya di lokasi nahas, mangsa telah bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia yang datang dari arah Malim menghala ke Melaka Sentral. Kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang melanggar lampu isyarat.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka, sementara pemandu wanita berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 6.45 petang oleh pegawai perubatan,” katanya.
Tambah Christopher, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Kenderaan terlibat akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan. Polis sedang mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan dan saksi bebas yang melihat kejadian,” jelasnya. – UTUSAN