MELAKA: Padah melanggar lampu isyarat di Jalan Pantai Belimbing-One Krubong di sini, seorang operator kilang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, penunggang lelaki berusia 20 itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ujarnya, mangsa yang sedang dalam perjalanan dari Krubong Perdana menghala ke Krubong dipercayai telah melanggar lampu isyarat di simpang empat berkenaan.
“Pada masa sama, datang sebuah kereta dipandu lelaki berusia 35 tahun dari arah Tanah Merah menuju ke Taman Krubong yang ketika itu berada di laluan lampu isyarat hijau.
“Mangsa telah merempuh kereta berkenaan menyebabkannya mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.
Tambah Christopher, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN