Ibu tuntut keadilan kematian Haura Najia

Ibu tuntut keadilan kematian Haura Najia

NURUL FATEHA Md. Sandollah mencium baju terakhir dipakai Haura Najia Mohd. Kamaruddin Helsa ketika ditemui di Taman Bertam Impian, Melaka. - UTUSAN/HADI AB. MANAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tragedi dibedung, disumbat botol susu, ditutup dengan kain dan ditekup menggunakan bantal sehingga menyebabkan bayi lelaki berusia lapan bulan, Allahyarham Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri maut di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) Jumaat lalu, amat memberi kesan kepada pasangan Mohd. Kamaruddin Helsa Muhd. Saad, 42, dan Nurul Fateha Md. Sandollah, 37.

Kejadian tidak berperikemanusiaan melibatkan pengasuh di Taman Kelemak Utama dekat sini itu menyuburkan kembali ingatan akan kemungkinan anak ketiga mereka, Allahyarhamah Haura Najia yang meninggal dunia pada 2022 turut berdepan situasi sama.

Nurul Fateha berkata, apa yang membezakan antara kes Muhammad Al Fateh Amri dengan kes anaknya yang ketika kejadian berusia enam bulan adalah sehingga kini, mereka sekeluarga belum mengetahui insiden sebenar menimpa Haura Najia.

Jelasnya, lebih memilukan tiada sebarang pendakwaan atau tindakan undang-undang dikenakan terhadap pengasuh atau institusi terlibat, malah dakwa Nurul Fateha, taska di Pulau Gadong yang sebelum ini tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dikatakan kini telahpun berdaftar.

“Benda hampir sama, situasi sama yang terjadi. Saya tahu sakitnya apabila anak meninggal dunia, cuma dalam kes Al Fateh ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Mereka nampak apa yang berlaku kepada Al Fateh tetapi saya hanya mendengar apa yang diceritakan oleh pengasuh bahawa dia membedung, memberi susu dan mengiringkan anak saya.

“Bila minta tengok CCTV mereka katakan ia bukan kamera sebenar sebaliknya ‘dummy’. Haura dikatakan tidak sedarkan diri di taska berkenaan pada 27 Oktober 2022, kemudian dihantar ke klinik berhampiran dan kemudian hospital oleh pengurusan taska. Selepas dua hari diberikan bantuan pernafasan Haura disahkan meninggal dunia.

“Selepas empat bulan barulah laporan bedah siasat dikeluarkan yang menyatakan bahawa sebab kematian Haura disebabkan pneumonia iaitu jangkitan kuman dalam paru-paru. Seperti dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Nordin sebelum ini bahawa kes Al Fateh sama dengan kes pada 2022 iaitu kes Haura, jadi ini jelas menunjukkan ada kecuaian berlaku,” katanya ketika ditemui di Taman Bertam Impian di sini, semalam.

MOHD. KAMARUDDIN HELSA Muhd. Saad dan Nurul Fateha Md. Sandollah menunjukkan kesan lebam pada mata Haura Najia yang dikesan beberapa minggu sebelum kejadian.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kes Muhammad Al Fateh Amri merupakan kes kedua dilaporkan berlaku di Melaka.

Kalsom berkata, dalam kejadian pertama sebelum ini, punca kematian mangsa adalah sama seperti yang menimpa Muhammad Al Fateh Amri iaitu tidur dibedung dan disumbat susu, iaitu merujuk kepada kes Haura Najia.

Tambah Nurul Fateha, dia dan suami reda dengan pemergian anak bongsu mereka yang ditunggu hampir tujuh tahun untuk dikurniakan Ilahi, namun kekal menuntut keadilan sewajarnya terhadap kes berkenaan.

Dedahnya, sebelum kejadian, mereka telahpun merancang untuk memindahkan Haura Najia ke taska lain berikutan terdapat kesan lebam pada mata anaknya yang dikesan beberapa minggu sebelum itu.

“Ada kesan hitam pada mata anak saya seperti lebam, bila kita tanya taska pengasuh maklumkan Haura menggosok matanya. Jadi kami memang sudah merancang untuk pindahkan Haura ke taska lain, namun kami tidak sempat berbuat demikian,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN