Ibu dakwa kontraktor cuai, letak tong roro tanpa tanda amaran

Ibu dakwa kontraktor cuai, letak tong roro tanpa tanda amaran

NORIZAN Ujak tidak mampu menahan sebak selepas kehilangan dua anaknya, Muhammad Amirul Hazlin dan Nur Afiqah Sofea Hazlin (gambar kecil) ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kecuaian kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pemotongan pokok di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di sini, meletakkan tong roro di laluan kecemasan tanpa sebarang tanda amaran dikatakan menjadi punca kemalangan maut membabitkan dua beradik, semalam.

Dakwa ibu mangsa, Norizan Ujak, 40, yang menyaksikan kejadian, tiada pengawal lalu lintas yang berada di lokasi dan hanya satu kon sahaja diletakkan berhampiran tong tersebut.

Katanya, anak sulungnya, Muhammad Amirul Hazlin, 18, yang menunggang motosikal bersama anak bongsu berusia lima tahun, Nur Afiqah Sofea Hazlin tidak sempat mengelak tong berkenaan.

“Sebagai penunggang motosikal, kita akan guna laluan paling kiri iaitu lorong kecemasan kerana Lebuh SPA ini jalan besar, banyak lori dan kereta laju-laju.

“Saya berada di belakang mereka menunggang sebuah lagi motosikal dengan anak nombor dua. Saya lihat bila sampai di tempat kejadian, anak saya tidak boleh pergi ke laluan kanan kerana ada lori, lantas melanggar tong itu.

“Saya nampak dia terpelanting, saya hanya mampu menjerit ‘Ya Allah, anak aku’. Saya angkat anak yang bongsu tapi sudah terkulai, tangan dan kakinya patah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini.

TONG roro yang diletakkan di laluan kecemasan di Lebuh SPA, Melaka.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang membonceng motosikal bersama abangnya maut selepas merempuh tong roro yang berada di laluan kecemasan di Lebuh SPA.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, mangsa, Nur Afiqah Sofea dan Muhammad Amirul menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, si abang disahkan meninggal dunia pada pukul 7.40 malam manakala adiknya pukul 12.30 tengah malam tadi.

Tambah Norizan, ketika kejadian dia dan anaknya menunggang motosikal berasingan untuk menziarahi kubur arwah suami, Hazlin Hassan di Tanah Perkuburan Islam Bertam Hulu yang meninggal dunia 10 bulan lalu.

“Disebabkan kecuaian mereka, saya hilang dua anak serentak. Lepas ziarah kubur kami rancang untuk makan malam di kedai kerana anak sulung baru baik demam, tidak sangka pula berakhir begini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN