MELAKA: Kerajaan negeri akan menjalankan proses pemutihan taman asuhan kanak-kanak (taska) yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di seluruh negeri ini bagi memastikan hanya institusi berdaftar dibenarkan beroperasi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, terdapat 137 taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu 101 di daerah Melaka Tengah, 17 di Alor Gajah dan 19 di Jasin.
Menurutnya, kejadian maut melibatkan seorang bayi lelaki lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri di Taman Kelemak Utama di sini, semalam merupakan kes kedua dilaporkan berlaku di Melaka.
Jelasnya, JKM mengesahkan bahawa taska terlibat tidak berdaftar dengan pihaknya dan dalam proses mendapatkan surat sokongan pendaftaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi aspek keselamatan.
“Sebenarnya saya mendapat laporan ada banyak taska di Melaka, namun yang berdaftar dengan JKM hanya 137 sahaja. Justeru kita akan buat pemutihan dengan kadar segera bagi mengenal pasti taska yang tidak berdaftar. Saya minta ibu bapa agar tidak menghantar anak-anak mereka ke taska macam ini.
“Kita menyeru agar ibu bapa hanya menghantar anak-anak mereka di taska yang berdaftar sahaja. Di mana, segala maklumat dan senarai taska berdaftar ada dipaparkan di laman web JKM,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi pasangan Mejar Ir. Ts. Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 39, dan Sabrina Hakiem Zaini di Taman Kelemak Utama, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan seorang pengasuh yang didakwa membedung, menyumbat botol susu, menutup dengan kain dan menekup menggunakan bantal terhadap seorang bayi berusia lapan bulan, sehingga menyebabkan mangsa maut.
Menurut bapa mangsa, Mohd. Fikry Amri, perbuatan itu dilihatnya sendiri dilakukan pengasuh itu terhadap anak lelakinya, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska berkenaan.
Ujarnya, polis memaklumkan bahawa taska terlibat beroperasi tanpa lesen sejak empat tahun lalu.
Tambah Kalsom, dalam kejadian pertama sebelum ini, punca kematian mangsa adalah sama seperti yang menimpa Muhammad Al Fateh Amri iaitu tidur dibedung, disumbat susu dan ditutup dengan kain.
Jelasnya, JKM akan memanggil semua pengusaha taska dan pengasuh taska untuk diberikan latihan yang betul menerusi program advokasi tidak lama lagi.
“Perbuatan ini (bedung dan beri susu) mungkin cara paling senang untuk bayi tidak bergerak dan tidur. Tapi sebenarnya perbuatan itu salah. Ini adalah kejadian kali kedua berlaku dan cara kematiannya sama,” ujarnya. – UTUSAN