Isteri mengandung empat minggu, mangsa kebakaran Plaza

Isteri mengandung empat minggu, mangsa kebakaran Plaza Mahkota kongsi detik cemas

KALSOM Noordin bertanyakan sesuatu kepada Caterina Lee yang mendapat rawatan sambil diperhatikan Kevin Lem Wee di Wad Kecemasan Hospital Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Kami dilema sama ada hendak terjun atau tidak dari tingkat dua jika keadaan memaksa kerana isteri sedang mengandung,” demikian kata Kevin Lem Wee, 22, bersama isterinya, Caterina Lee, 31, yang berjaya diselamatkan orang ramai menggunakan jentera mengecat bangunan dalam kebakaran melibatkan premis bilik sewa di Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini, semalam.

Kevin berkata, sewaktu kejadian dia dan isteri yang hamil empat minggu terbau asap mula menyelubungi bilik sewa mereka, lantas segera keluar menyelamatkan diri.

Ujarnya, ketika cuba menuruni tangga, api didapati sedang marak di tingkat satu dan memaksa mereka kembali ke bilik.

“Kemudian saya buka tingkap dan menyuruh isteri duduk atas kipas penghawa dingin manakala saya duduk di unit satu lagi.

“Kami menjerit meminta tolong daripada orang ramai yang lalu lalang di situ. Ketika itu saya dilema sama ada hendak terjun bagi menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Wad Kecemasan Hospital Melaka, hari ini.

Dalam tragedi itu, dua kanak-kanak meninggal dunia di Hospital Melaka selepas terlibat dalam kebakaran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang maut ialah Nuralia Karisa Abdullah, 12, dan Nur Riaisha Zahra Abdullah, 2, manakala ibu mereka, Azliha Ngah Ariffin, 40, masih dirawat di hospital.

Katanya, kebakaran di tingkat satu, dua dan tiga itu disedari pemilik premis tingkat bawah kira-kira pukul 1.30 tengah hari, semalam.

Dalam pada itu, isteri Kevin yang masih mendapat rawatan dilihat semakin pulih sewaktu dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Kalsom berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu menguruskan jenazah adik-beradik yang difahamkan akan dikebumikan di Ipoh, Perak.

Menurutnya, keadaan ibu mereka sangat kritikal di unit rawatan rapi (ICU) dan situasinya masih tidak stabil sewaktu dimasukkan ke hospital.

“Saya menziarah dan melihat keadaan mangsa yang sangat kritikal. Saya berasa amat sedih atas kejadian yang berlaku dan saya mendoakan agar satu keajaiban berlaku kepada ibu mangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya