MELAKA: Sebuah pesawat ringan jenis Piper PA-28-181 dilaporkan gagal mendarat dengan baik sehingga menyebabkan tayar hadapan kapal terbang itu tertanggal dalam insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini, petang tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, insiden dilaporkan berlaku pada pukul 3.07 petang melibatkan latihan dikendalikan International Aero Training Academy (IATAC).
“Insiden berlaku selepas seorang juruterbang pelatih berusia antara 18 sehingga 20 tahun dipercayai gagal mendaratkan pesawat tersebut dengan baik sehingga menyebabkan tayar hadapan kapal terbang itu tertanggal.
“Pelatih itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan pesawat berkenaan telah dialihkan dari landasan pada pukul 3.35 petang untuk dibawa ke hangar berhampiran bagi pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Norazman, LTAM kembali beroperasi pada pukul 4.12 petang selepas semua pemeriksaan keselamatan selesai dilakukan.
“Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya. – UTUSAN